Jumpa lagi di wadah rausyanfikir.
Teman-teman IPG Kampus Kota Bharu sekalian, rausyanfikir itu tercetus apabila wujud beberapa individu (dan beberapa individu ini pasti menmbentuk kelompok) yang prihatin terhadap komuniti mereka. Mereka resah serta gelisah dengan masalah-masalah yang wujud. Kelesuan pemikiran dibenci mereka. Mereka rindu akan setiap keindahan. Cinta akan setiap kehalusan bermasyarakat. Mereka akan bergabung dengan ilmu masing-masing membangunkan sosial yang bejat dan bobrok. Kelesuan ditukar dan dijana menjadi gelombang tenaga yang aktif. Kebinasaan dibangunkan menjadi binaan insaniah paling mengagumkan.
Inilah sumbangan asy-syahid Dr. Ali Shariati nun di Iran. Bagaimana tatkala Iran merevolusi dalam arus perubahan yang tidak disangka-sangka. Buku tulisannya laris, idea bernasnya diguna pakai, siri-siri ceramah/kuliahnya bertukar api keilmuan dan hikmah yang terlalu hebat. Maka, di sebalik ketokohan Ayatollah Khomeini yang karismatik, di belakang tabir sebenar dan sesungguhnya wujud arkitek sosial yang berfikiran tajam menikam: Dr. Ali Shariati yang berjaya menjana semangat pemuda-pemuda Iran. Revolusi Iran 1979 atau dalam bahasa Parsi disebut Enghelab Eslami 1979 pun meledak secepatnya! Monarki bertukar Republik Islam dengan rausyanfikir.
Ramai yang masih tertanya-tanya, apa rasionalnya idea rausyanfikir dalam Revolusi Iran diserap di IPG kita. Jawapannya: untuk membangkitkan kelesuan dan monotonous yang sekian lama wujud. Kita menjadi manusia yang disetkan dan lesu dengan pemikiran; walaupun hakikatnya kita sangat cemerlang. Definisi guru disempitkan kepada perkara terbatas di dalam bilik darjah. Guru pelatih IPG disempitkan dengan kewajiban ke kelas dan perhimpunan dengan alasan: kita dibayar elaun untuk itu. Betapa jumudnya!
Rausyanfikir tiba menawarkan perubahan baharu. Menawarkan idealogi agung daripada tokoh yang agung juga. Beberapa pendekatan yang mahu dilaksanakan:
1. Tiada sesiapa yang lebih 'berkuasa' di sini. Katakan dalam sesuatu persatuan itu wujud jawatan seperti Presiden, Naib Presiden, Setiausaha, dan lain-lain. Di komuniti rausyanfikir, tiada siapa Presiden, tiada siapa pun Setiausaha. Birokrasi dapat dielakkan. Konsep yang digunakan dalam 'join' atau bersekutu dengan rausyanfikir sama seperti akaun bank. Jika kita berminat untuk membuka akaun (sertai rausyanfikir), maka kita melakukannya. Jika merasakan ohh... tidak serasi dengan jiwa, sama seperti akaun bank, kita boleh mengeluarkan semua deposit dan menutup akaun (tidak sertai rausyanfikir). Masuk dan keluar tidak menjadi masalah dalam rausyanfikir. Tiada borang keahlian digunakan.
2. Landasan yang digunakan untuk membangunkan IPG Kampus Kota Bharu berdasarkan 3 elemen iaitu BU MU FI. Melalui pembudayaan buku, muzik, dan filem. Jika 3 asas penting ini dapat dibudayakan, rausyanfikir bertunas dan peradaban di IPG ini positif untuk dicetuskan.
3. Semua individu rausyanfikir bergabung di bawah bumbung hikmah. Titik persamaan menjadi basis (asas) utama. Katakan, pada suatu malam, diskusi mengenai Maher Zain dibuat. Kelompok rausyanfikir yang berminat dengan isu Maher Zain akan bertemu dan saling bertukar pandangan mengenai topik itu. Kelompok rausyanfikir yang meminati bola sepak misalnya tidak berminat untuk menghadiri diskusi Maher Zain. Ya, dan mereka boleh mengadakan diskusi mereka tersendiri. Mengenai bola sepak pula. Ini disebut bergabung dalam hikmah. Masing-masing memilih topik sendiri untuk dibincangkan, kemudian mengajak teman-teman rausyanfikir yang 'sealiran'. Dengan ini, proses biasa seperti 'terpaksa' menyediakan kertas kerja dapat dielakkan. Proses rausyanfikir berlaku secara spontan tetapi hasilnya menakjubkan.
4. Rausyanfikir menawarkan keindahan dalam kehidupan. Isu-isu falsafah timbul secara spontan. Katakan biasanya, teman rausyanfikir yang berminat bermain bola sepak hanya bermain begitu sehaja setiap petang. Apa kata, suatu hari, kita duduk-duduk santai kemudian bicara mengenai apa pentingnya bermain bola sepak? Antara kaki kanan dan kidal, mana lebih hebat tendangannya? Benarkah sepakan penalti dari sudut biologi melemahkan jantung penonton? Setakat mana tepatnya ramalan si sotong ahli nujum Paul? Diskusinya sangat sederhana dan santai. Namun, bayangkan jika persoalan-persoalan itu dikupas dan difikirkan. Hal sekecil itu menjadi falsafah yang sangat besar dan bermutiara.
5. Setiap topik yang dibincangkan dihubungkan pula dengan realiti semasa. Ini beza antara rausyanfikir dengan ilmuwan. Ilmuwan hanya mencari jawapan kepada persoalan. Rausyanfikir mencari kebenaran. Rausyanfikir suka menggeledah masalah sosial dan menyelesaikan dengan cara sangat berhikmah atau 'wisdom'. Hidupnya dipenuhi dengan persoalan 'mengapa' (katakan: mengapa pensyarah kadang-kadang separuh mengherdik guru pelatih untuk ke perhimpunan?) dan disusuli dengan persoalan 'bagaimana' (katakan: oh, sepatutnya kita terapkan budaya suka mendengar, komunikatif, perhimpunan itu pula menarik dan tidak hambar, dan herdikan ditukar dengan senyuman dan ajakan mesra). Mengupas persoalan 'bagaimana' itu sangat sukar tetapi inilah tugas rausyanfikir. 'Bagaimana' itu akan menjawab persoalan 'mengapa' yang akhirnya bertukar satu solusi (penyelesaian) kepada sistem yang rosak. Itu disebut sebagai kapsul. Ubat kepada penyakit sosial. Ingat, dengan topik yang sangat sederhana, kemudian menjadi falsafah yang unggul dan kemuncak akhirnya ialah menjadi SOLUSI kepada masalah atau kelesuan yang timbul.
6. Jadi, apa yang perlu kita lakukan? Untuk permulaan, perbincangan kelompok secara santai perlu diadakan. Jangan sempitkan perbincangan kelompok itu kepada sesuatu yang formal seperti yang terbeku dalam minda kita. Usrah, halaqah, circle selama ini sepi disebabkan 'mind set' yang sudah dipantakkan dalam diri guru pelatih. Oh... usrah bicaranya tentang menutup aurat, tentang akidah, tentang nasyid, tentang tudung labuh, tentang ukhuwah (dan ukhuwah pula disempitkan dengan acara menyuap biskut kepada sahabat sebelah), tazkirah sampai serak-serak suara menagih tangisan hadirin, dan hal-hal lain yang beku. Rausyanfikir mengajak teman-teman rausyanfikir lain dengan dimensi berbeza. Mana tahu solusi ini berkesan. Kalau tidak berkesan, kita boleh sahaja mencuba solusi lain. Proses trial and error untuk membangunkan masyarakat memang wujud. Perubahan pertama yang dilakukan ialah diskusi (termasuk usrah, halaqah, dll) perlu disingkap dari berbagai-bagai perspektif. Konsep rausyanfikir ialah diskusi yang santai dan semua pihak boleh menyumbangkan pandangan masing-masing.
7. Katakan seorang rausyanfikir mengungkapkan satu solusi atau idea. Teman rausyanfikir seramai 10 orang, katakan begitu. Ya, kita sudah mengumpulkan. Seperti idea (1) di atas, solusi-solusi ini sama seperti akaun bank. Kita menyimpan wang ke dalam bank tersebut. Dalam konteks rausyanfikir, disebut bank idea. Jika kita menyertai rausyanfikir, kita bergabung untuk memberikan pandangan tentang realiti semasa (baca: IPG Kampus Kota Bharu). Bank idea dipenuhi dengan idea-idea yang bersifat reasonable (munasabah), applicable (sesuai, dapat dilaksanakan), dan mempunyai frame time (kerangka waktu). Bayangkan, 10 rausyanfikir mengemukakan idea masing-masing. Bank idea sudah mempunyai 10 idea mentah untuk disaring dan menanti untuk dilaksanakan. Timbul lagikah isu kekeringan idea di IPG Kampus Kota Bharu?
7 IDEA ini diharapkan menjadi penawar kepada teman rausyanfikir dalam kalangan guru pelatih IPG Kampus Kota Bharu. Menjadi ubat yang mujarab. Menjadikan hidup di IPG Kampus Kota Bharu lebih bermakna. Bukan sekadar ke kuliah, ke bilik, dan sistem pun menjadi nafsi-nafsi.
Ayuh, kita masuki saf perubahan. Pembudayaan tradisi keilmuan di sini perlu dijana. Tadi, seminar pendidikan berlangsung. Dan apa yang ketara...
Banyak kerusi yang tidak terpenuh pada seminar pendidikan di Dewan Wawasan pagi tadi. Sehingga hikmah tidak lagi dijulang kerana pensyarah terpaksa 'menghalau' guru-guru pelatih untuk hadiri seminar. Terpaksalah guru pelatih yang tidak terlibat dalam seminar pagi tadi turut menyertai. Maka, semangat seminar dan muzakarah itu seperti sangat lesu.
Inilah yang mahu dijana kembali oleh rausyanfikir. Biar pada satu tahap, seminar seperti ini tidak perlu dipaksa-paksa. Tidak perlu diwajibkan. Tidak perlu diadakan kerana memenuhi silibus @ kewajiban.
Biar ia berlaku kerana tradisi keilmuan itu sudah berkembang. Biar ia berlaku kerana 'ruhuul jadid' @ semangat pembaharuan itu terserlah. Bukan kerana terpaksa.
Maka, kerusi-kerusi bahagian hadapan akan dipenuhi. Soalan-soalan mengujakan dan 'sensasi' muncul dalam kalangan peserta seminar. Proses pertukaran idea berkembang. Tidak perlu berlaku proses kejar-mengejar antara pensyarah dan guru pelatih. Dan ilmu dan hikmah pun seperti rel yang menggerakkan kereta api pada landasan yang betul.
Apa itu rausyanfikir sebenarnya?
Rasuyanfikir ialah pemikir yang kini wujud di IPG Kampus Kota Bharu. Mereka berfikir tentang solusi. Berfikir tentang penyelesaian masalah. Berfikir tentang kaedah membangunkan kelesuan. Berfikir tentang modus operandi membina peradaban melalui landskap sosial semasa.
Kita mengharapkan cahaya islah ini berlaku. Rausyanfikir ialah idea Islamik tetapi tidak beku, jumud, dan rigid seperti yang dilihat di mana-mana sebelum ini.
Ketemu lagi. Salam rausyanfikir.