Saturday, October 2, 2010

MULANYA DI SINI

Mulanya di sini saat kita berkenal-kenalan. Kita bertukar senyuman kemudian pemikiran. Kita membina peradaban. Mulanya di IPG Kampus Kota Bharu dalam wadah rausyanfikir.

Hari ini, kita pernah mengenali David Beckham sebagai ikon bola sepak yang unggul. Mungkin sesekali kita tersapa dengan nama Britney Spears dengan lagu-lagu popularnya. Kadang-kadang, tersua pula nama M. Nasir sebagai genius muzik 'dunia sebelah sini'. Atau yang lebih mendalam, kita mengenali pesona seorang Barack Obama. Atau Sheikh Muszaphar dengan pesona angkasaraya.

Kita kaget dan bangga dengan tokoh-tokoh itu. Banyak nama lain yang tidak terungkap, menjadi kebanggaan kita. Menjadi perbualan kita. Meniti di hati-hati kita.

Siapa kita?

Kita ialah tokoh kecil yang menghimpun tenaga yang besar. Tenaga besar yang akan menjadikan dunia ini penuh dengan peradaban, dengan keikhlasan, dengan kebaikan. Kitalah tokoh kecil itu.

Hari-hari kita terisi dengan menatap bangunan yang sama. 5 tahun setengah dalam kelompok yang sama. Guru pelatih yang setia dan tekun menadah ilmu sepenuh jiwa. Rupa-rupanya, tanpa kita sedari, perjalanan seumpama itu menjadikan kita seperti secawan air yang dimasukkan ke dalam fridge. Perlahan-lahan air itu membeku. Kemudian, menjadi ais. Ais yang akhirnya terbentuk daripada acuan. Jika cawan itu segi tiga, ais itu menjadi segi tiga juga. Jika cawan itu bulat, bulatlah jadinya.



Kitalah ais itu. Kitalah yang dibentuk secara 'segi tiga' dan 'bulatan' itu. Alangkah beruntungnya. Alangkah baik dan bahagianya. Ais-ais itu pula dimasukkan ke dalam jag berisi jus epal yang aduhai... manis dan lazatnya. Melekit di kerongkong peminum-peminum jus epal itu. Bertambah segar dan nyaman.

Kita seolah-olah 'ais' yang 'dibentuk'. Ya, kita guru pelatih yang dalam perjalanan hidupnya ditakdirkan untuk singgah seketika di IPG Kampus Kota Bharu. Yang dalam lembaran memorinya tercatat: aku pernah di sini. Dan perjalanan kita masih jauh.

Kita tetap seperti ais yang dibentuk sistem. Kalau sistem itu baik, baiklah kita. Dan sebaliknya.



Rausyanfikir hadir menawarkan keindahan sebuah kehidupan. Menawarkan kehalusan antara perjalanan yang masih panjang. Menawarkan erti kemanusiaan dalam riuh-rendah guru pelatih yang datang. Kemudian, pergi sesudah 5 tahun setengah di sini.

Kita barangkali bukan David Beckham yang pintar menjaringkan gol unik tatkala sepakan percuma. Jauh sekali Britney yang genit dan mewah. Bukan juga M. Nasir yang bersepi menggubah irama nurani. Bukan Barack Obama, pemimpin gah dunia. Dan bukan Sheikh Muszafar, doktor angkasawan berjaya.

Kita ialah arkitek manusia. Kita membangunkan jiwa. Kita berdiri di sebalik runtuhan dunia yang melanda, berusaha membangunkannya. Tangis dan tawa, suka dan duka kita terbentuk dalam 'cawan' yang sama. Dan sesudah itu, kita pula yang akan membentuk anak-anak didik kita, kelak.

Rausyanfikir, ini kalimah Iran yang menggetar jiwa. Idea sosiologis handalan, Dr. Ali Shariati sang arkitek Revolusi Iran sekitar 70-an. Dia sudah syahid diracun penzalim-penzalim yang nista. Tetapi, dia masih wujud dalam idea-idea yang murni, yang pernah membangkitkan anak-anak muda seluruh Iran.

Alangkah indahnya jika kita benar-benar ais yang mampu memberikan rasa dingin kepada orang lain. Jus epal yang manis ditambah kedinginan ais, alangkah! Terutama tatkala terik matahari. Malang sekali jika kita cuma ais-ais yang akhirnya mencair begitu sahaja. Tidak memberi keuntungan kepada sesiapa. Diri sendiri musnah jua.

Kita percaya, guru-guru pelatih IPG Kampus Kota Bharu sungguh cemerlang. Bakal guru Matematik, Sains, Pemulihan, Pendidikan Khas, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Muzik, Pendidikan Jasmani, dan banyak subjek lain yang tidak terungkapkan. Kita tidak pernah meragui betapa IPG ini mampu membentuk ais-ais yang 'bersegi tiga', 'bulat', lain-lain.

Hanya ais-ais itu tidak sekadar begitu tugasnya. Kita perlu bergabung bersama jus epal yang manis misalnya, untuk memberikan kebaikan dan rasa nikmat kepada 'peminumnya'. Bayangkan jika guru pelatih yang berbagai-bagai bidang itu bersatu di bawah bumbung rausyanfikir, bersama membangunkan sosial dan komuniti. Kita akan berjaya membina peradaban yang unggul, di sini.

Dan bayangkan lagi, jus epal itu ialah ilmu yang sudah sedia ada di IPG Kampus Kota Bharu. Dan ais pula ialah hikmah atau 'wisdom'. Tatkala jus epal dan ais bergabung, ketika itulah kenikmatan dirasakan. Dan tatkala ilmu dan hikmah bersandingan, ketika itulah keindahan dalam sistem pendidikan dikecapi.

Sampai jumpa lagi.

2 comments: