Rausyanfikir menawarkan dimensi yang berbeza kepada guru-guru pelatih. DIMENSI BERBEZA; itu tagline rausyanfikir. Banyak cara untuk berfikir di luar kotak tetapi untuk memudahkan pembaca, ringkasannya begini:
1. Cuba timbang tara sesuatu perkara itu dengan neraca 'wisdom'. Misalnya, kita pernah menonton karya Children of Heaven karya Majid Majidi, seorang Syiah. Jangan lekas menghukum bahawa ohh... tak boleh tengok. Minda akan dijumudkan dengan kesempitan fikiran itu. Paling penting, cari kebijaksanaan dan tinggalkan kehodohan.
2. Lihat sesuatu dari penjuru yang berbeza. Katakan teman kita mengatakan IPG lebih baik daripada universiti. Kita perlu mengambil sikap, maksudnya memilih mana yang lebih baik tetapi dalam masa yang sama perlu juga mempertimbangkan premis bertentangan. Katakan kita memilih IPG lebih baik (sama seperti kawan kita), cuba sesekali fikir dan gali hujah: apa kurangnya dengan universiti? Bukankah kadang-kadang universiti jauh lebih baik daripada IPG?
3. Kuasa perbandingan. Comparison membuka jendela hikmah yang sangat luas. Kita menjadi manusia yang tidak ikut-ikutan, menurut, dan membuntuti semata-mata. Perbandingan ini menyebabkan kita mengetahui mana yang hak dan mana yang batil. Cuba belajar ilmu mantiq secara perlahan-lahan. Masuki alam falsafah kerana banyak kebijaksanaan terkumpul di situ. Contohnya, apabila membandingkan (banding secara telus tentunya) pasukan bola kita dengan pasukan bola lawan. Katakan pasukan bola lawan lebih bagus. Apa bagusnya? Apa yang boleh kita serapkan dalam pasukan bola sepak kita pula? Timbang tara ini membenarkan pemikiran yang 'out of the boxes'.
4. Jika pendapat sama sekali pun, cuba selami dari sudut berbeza. Misalnya, kita berbicara mengenai haji, ya kita pun mencecerkan dalil demi dalil untuk dihadami. Rukunnya, syarat sahnya, dan lain-lain. Itu bagus tetapi sebenarnya kurang membuka minda. Bicaralah seperti Dr. Ali Shariati yang sangat asing pemikirannya kerana sering melihat sesuatu dari sudut lain. Benar-benar lain. Seperti haji, dia melihat sangat berbeza berbanding pak-pak ustaz. Boleh rujuk buku masterpiecenya, The Hajj. Selepas berfikir secara 'lain' itulah, pemahaman tentang rukun, syarat, dam, adab-adab, dan lain-lain menjadi sebati dengan jiwa.
5. Banyakkan membaca dan merujuk silang. Ini sepatutnya dinomborkan sebagai yang pertama. Rujukan silang (cross-reference) sangat menakjubkan hasilnya. Orang yang terikut-ikut untuk mendapatkan sesuatu melalui satu sumber sahaja dianggap beku dan terkongkong. Cubalah mendapatkan sesuatu daripada banyak sumber kemudian ambil satu sikap hasil perbandingan yang analitikal. Memang akhirnya kita mendapat sikap terbaik daripada itu.
Banyak lagi cara lain, tetapi ya... ayuh berfikir di luar kotak kemudian senaraikan sendiri intipati lain. Jumpa lagi.
No comments:
Post a Comment