Friday, October 8, 2010

FAQs

1. Apa itu rausyanfikir?

Rausyanfikir ialah cetusan idea daripada asy-syahid Dr. Ali Shariati, sosiologis dari Iran. Kejayaan mengumpul tenaga pemuda sewaktu tercetusnya Revolusi Iran sekitar tahun 70-an melalui gagasan rausyanfikir. Slot-slot ceramah dan tulisan-tulisannya sangat dikagumi kerana kebernasan serta ketajaman hujah. Rausyanfikir itu istilah dalam bahasa Parsi bermaksud pemikir. Maknanya, beberapa individu yang prihatin terhadap situasi sosial dan komunitinya bergabung melalui kepakaran masing-masing untuk membangunkan peradaban.

2. Mengapa rausyanfikir di IPG Kampus Kota Bharu?

Kerana suram dan kelamnya tradisi keilmuan di sini. Banyak sudut yang kosong minta diisi. Guru-guru pelatih seperti hanya disetkan untuk menjadi guru pelatih yang taat kepada sistem dan peraturan. Dikongkong pula dengan 'mind-set' kita mendapat elaun dan jaminan kerja untuk ke bilik kuliah, patuh akan peraturan, jangan mencabar pensyarah. Semua ini perlu ditanggap semula, dibetulkan hingga ke akar-akarnya. Rausyanfikir dibentuk di sini bertujuan untuk menjana tenaga guru pelatih yang selama ini beku, menggerakkan jiwa yang statik, dan memecahkan belenggu kejumudan dalam pemikiran. Rausyanfikir tidak mencabar sistem dan akta tetapi mencerna sistem dan akta yang sedia ada untuk membangunkan tradisi ilmu dan peradaban ummah. Melalui bumbung 'wisdom' atau hikmah.

3. Adakah rausyanfikir merupakan persatuan? Atau pertubuhan? Atau gerakan guru pelatih 'bawah tanah'?

Tidak. Rausyanfikir lebih kepada komuniti atau masyarakat yang mencintai ilmu dan membandingkannya dengan realiti. Dalam konteks IPG Kampus Kota Bharu, katakan 3 orang guru pelatih meminati buku JK Rowling. Mereka mula mencari 'wisdom' dalam setiap perenggan buku tersebut, menyebarluaskan kerangka pemikiran ke dalam realitinya iaitu di IPG Kampus Kota Bharu. Rausyanfikir bukan persatuan atau pertubuhan, jauh sekali gerakan 'underground' untuk agenda tertentu. Tetapi rausyanfikir ialah pembudayaan. Pembudayaan ilmu dan pengetahuan.

4. Adakah selari dengan Akta 174?

Mengikut Akta 174 di bawah Seksyen 6:

9. (1) No student, and no organization, body or group of students, shall, without the prior permission of the Executive Head or of a person authorized in writing by the Executive Head to grant such permission, hold, organize, convene or call, or cause to be held, organized, convened or called, or be in any manner involved in holding, organizing, convening or calling, or in causing to be held, organized, convened or called, or in doing any act towards holding, organizing, convening, or calling, any assembly of more than five persons in any part of the campus or on any land or in any building belonging to or under the possession or control of the Institution or used for the purposes of the Institution.

Kami bertemu sendiri dengan Ketua Eksekutif (Tuan Pengarah) pada 3 Oktober 2010 untuk mendapatkan tafsiran bagi perenggan ini kemudian menjelaskan konsep rausyanfikir yang dimatlamatkan. Adakah perlu didaftarkan sebagai persatuan sedangkan rausyanfikir tidak mempunyai portfolio jawatan? Kerana rausyanfikir ialah pembudayaan bukan pertubuhan, Ketua Eksekutif membenarkan kami menjalankan aktiviti, cuma proses mendapatkan tempat pelaksanaan aktiviti (misalnya dewan seminar, kelas, dll) perlu mengalami prosedur rasmi seperti biasa. 

4. Siapa ahli rausyanfikir?
Semua guru pelatih yang mencintai ilmu dan prihatin terhadap situasi sosial yang dihadapi di IPG Kampus Kota Bharu.

5. Bagaimanakah modus operandi atau kaedah pelaksanaan rausyanfikir?
Melalui wadah blog dan Facebook (kaedah online) dan aktiviti berkala melalui diskusi topik-topik tertentu (kaedah offline). Blog dan Facebook menjadi platform rausyanfikir menjana idea.

6. Aktiviti rausyanfikir berasaskan apa?
Berasaskan BUMUFI (buku, muzik, filem). Apa-apa sahaja mengenai BUMUFI akan dibincangkan secara santai tetapi penuh ilmu oleh ahli rausyanfikir.

7. Cara mengendalikan diskusi?
Kumpul ahli-ahli rausyanfikir yang sama minat kemudian cadangkan tempat perjumpaan. Aktviti rausyanfikir pun terlaksana. Semacam kumpulan belajar juga tetapi aktiviti rausyanfikir lebih santai dan bervariasi. Apa sahaja aktviti mengenai BUMUFI dapat dilaksanakan.  Tidak semestinya menghadiri aktviti yang dikemas kini di blog dan Facebook sahaja. Aktiviti yang dianjurkan di blog dan Facebook hanyalah sebagai panduan dan petunjuk bagaimana tradisi keilmuan seharusnya bermula di IPG ini.

8. Sampai bila aktiviti rausyanfikir diteruskan?
Apabila guru pelatih memahami konsep rausyanfikir dan memerlukannya. Jika konsep ini tidak diperlukan, rausyanfikir akan bernoktah di sini sahaja. 

9. Simbol rausyanfikir?
Buku dan epal. Epal diletakkan di atas buku atau istilahnya apple and books menjadi trade-mark rausyanfikir kerana menyerap fenomena ilmu di Eropah yang terpinjam daripada dunia Islam yang masyhur.

10. Kapsul pertama rausyanfikir?


5 Oktober 2010. Kapsul Pertama : Maher Zain (Mutiara yang Hilang di IPG). Persoalan mengenai muzik dan faktor kepopularan Maher Zain, kemudian kaitannya dengan IPG.

11. Apa itu kapsul?

Kapsul ialah pembalut/ sarung ubat. Kapsul dalam konteks rausyanfikir ialah aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Istilah aktiviti ditukargantikan dengan nama kapsul merujuk kepada idea-idea yang disatukan dalam satu kapsul, satu pembalut, satu sarung agar idea yang murni tidak keciciran. Apabila idea dikapsulkan (aktiviti dijalankan), bererti tiba masanya untuk diaplikasikan pula (jika ubat sampai masanya untuk ditelan).

12. Kesan apabila rausyanfikir dipesatkan?
Warga IPG Kampus Kota Bharu terisi dengan ilmu. Cakapnya cakap ilmu, sembangnya sembang ilmu, main bolanya main bola ilmu, makannya makan ilmu. Semuanya berkisar tentang ilmu. Peradaban berkembang. Minda dibuka bukan ditutup. Hak tertegak. Guru pelatih lebih cega mengenai apa peraturan yang betul dan apa yang tidak betul. Akhlak mana yang baik, mana yang buruk. Pendek kata, matlamat akhir ialah tingkat pencapaian tatkala ilmu dan hikmah disatukan.


* Sebarang istifham (pertanyaan) dialu-alukan. Sila beri komentar di ruang ini atau catat di dinding Facebook rausyanfikir.

1 comment:

  1. Salam pemikiran kepada sahabat di sana yang berfikir..

    tahniah di atas inisiatif yang saudara cuba wujudkan. mudah-mudahan akan terus berkembang dan istiqamah dalam landasan ujian kelak.

    pemikir memang cukup hebat peranannya. bukan sahaja tokoh iran saudara sahaja, malah cukup ramai yang tersebar hingga hujung dunia. anda kenal adolf hitler? dia juga pemikir agung. berjaya menguasai seluruh eropah dengan pelan strategi yang cukup hebat. begitu juga Da Vinci, seniman dan juga akitek yang genius dalam berfikir.

    namun pemikiran yang jitu, perbincangan yang berfalsafah, masih belum cukup untuk menjadi seperti tokoh iran saudara dan adolf hitler saya. di mana perlunya kekuatan dalaman dan luaran, perlunya strategi, perlunya qiadi dan jundi untuk memimpin dan melaksana dan perlunya satu keperluan untuk membentuk gabungan semua ahli-ahli yang sama2 berfikir.

    anda seorang yang hebat. dipertemukan dengan satu tokoh yang cukup hebat. namun anda seperti berlaku zalim kepadanya. kerana anda hanya mengambil secebis pemikiran dari apa yang dibawa oleh beliau. anda seorang sekular!

    anda melihat dia sebagai tokoh sosiologi, akitek sosial tetapi mengkin anda lupa, beliau mengetengahkan ISLAM sebagai jalan penyelesaian setiap permasalahan yang berlaku.

    sirah Rasulullah, prinsip-prinsip islam, alquran menjadi petunjuk kepada setiap tindakan yang diambil. dimana beliau bukan sahaja mengetengahkan falsafah dan idea semata-mata malah lebih dari itu, islam menjadi intipati kepada setiap idea yang diketengahkan.

    apa yang saya cuba lontarkan di sini adalah, betapa anda sedang cuba menyemai benih-benih idealis dan intelektual mengikut acuan musuh-musuh islam! di mana anda cuba membawa rakan-rakan yang lain ke arah pemikiran bebas (free thinker) yang akhirnya akan mula mempertikaikan peranan agama. yang akan mula berpegang kepada pemikiran dan falsafah semata-mata.

    di mana sunnah rasulullah, yang mengetengahkan adab-adab dalam berfikir, berbincang yang mana salah satu yang paling utama adalah mestilah tidak lari dari aturan dan landasan yang telah digariskan oleh Allah (alquran) dan rasulullah (sunnah)?

    idea anda hebat. falsafah anda murni. cuma anda tidak menghayatinya dari nur islam. anda menolak sunnah rasulullah dalam berorganisasi, membuang rasulullah dan sirahnya dalam membina pemikiran dan falsafah dan melukakan islam dengan mengkritik tanpa berani ke hadapan.

    anda mahasiswa, penuh dengan idealis yang cukup menggunung. saya juga mahasiswa. cuma sedikit lebih lama dari anda. yang mulanya juga seperti anda. cuba membawa idea dan falsafah dalam kehidupan dan masyarakat. sehingga lupa, di mana saya letaknya sirah rasulullah, ideanya dan juga prinsip perjuangannya.

    saya bukan ingin melemahkan semangat anda. hanya sedikit peringatan, bahawa jika kita lari dari ISLAM dan PRINSIPNYA, kita akan binasa. binasa sama seperti allah membinasakan kaum rom, babylon, firaun dan budaya-budaya gah lain, yang hanya berfikir dan berfalsafah sehingga lupa masih ada yang lagi dari segalanya, Allah yang maha esa.

    teruskan perjuangan saudara. cuma nasihat saya, cari dan galilah dari telaga-telaga yang menawarkan islam sebagai penyelesaiannya. yang menghambur falsafah Allah itu segalanya. yang menyajikan rasul itu tauladan dan model yang tiada tanding hingga akhir zaman.

    saya berminat dengan wawasan dan matlamat saudara, terutama pembinaan minda mahasiswa dan pembudayaan ilmu di IPGKB. saya menawarkan diri untuk berbincang dengan lebih lanjut tentang idea anda ini. tetapi, saya bukan rausyanfikir. saya pemuda muslim yang mengejar pengamalan islam dan isi-isinya secara syumul.

    jika anda berminat, boleh menghubungi saya dengan membalas komen di post anda ini. jika tidak, ignorekan sahaja.

    maaf jika ada yang menyinggung perasaan atau apa-apa sekalipun yang mengguris anda. yang baik tu dari allah dan setiap kelemahan adalah tanda lemahnya saya sebagai seorang manusia yang sentiasa melakukan kesilapan dan dosa.

    salam perubahan dari pemikir islam..

    ReplyDelete